Terima Kasih CIkgu!

Wednesday, May 16, 2012



Kalau 18 tahun yang lalu, terkedek-kedek turun dari motor dan berjalan masuk ke kelas. Ustazah sambut dengan senyuman. Seawal pagi, tudung putih atas kepala terletak indah. Baju putih kain hijau yang emak seterikakan, nampak cantik. Beberapa jam kemudian, tudung mula kelebeh sana sini, nak buka ustazah kata jangan. Baju dan kain mula berkedut-kedut. Dah sememeh orang tua-tua cakap. Tapi, tak apa. Yang penting alif ba ta pak aji mata buta dah berjaya khatamkan. Terima kasih Ustazah!

Kalau 17 tahun yang lalu, seronok pakai baju putih kain biru tua. Oh ya! tak lupa juga tudung sekolah warna putih. Pergi sekolah naik trak tentera. Berebut-rebut nak duduk seat yang paling luar sebab kena angin, sejuk. Belum mula waktu belajar lagi, tudung dah mula mengelebeh. Setiap kali cikgu masuk, kecut perut. Sebab pembaris panjang tak pernah lupa. Sifir tak hafal, tangan jadi mangsa. Grammar tak lepas purata, pun tangan jadi mangsa. Tapi, hari-hari pun nak pergi sekolah. Hari-hari pun nak buat origami. Biar cikgu cakap sorang-sorang. Nanti bila pop kuiz, konfem tak buleh jawab, aci tadah tangan jelah.. hahaha...

Kalau 12 tahun yang lalu, gembira riang raya sebab dapat keputusan UPSR yang diluar jangkaan. Kata orang putih, itulah turning point dalam hidup. Gembira sebab dapat Matematik A tapi sifir yang 12 tu sampai sekarang pun tak pernah berjaya hafal!. Cikgu gembira. Jumlah keseluruhan yang dapat A di luar expectation mereka. Cikgu peluk cium ucap tahniah. Saya masih terkebil-kebil sebab tak percaya. Kawan-kawan silih ganti ucap tahniah. Saya terkebil-kebil lagi. Cikgu memang terbaiklah. Cikgu didik saya sampai berjaya dapatkan A yang banyak tu. Oh ya! tak lupa juga untuk cikgu tusyen saya. 

Kalau 11 tahun yang lalu, terkedek-kedek bawa beg masuk asrama. Bila lambai tangan dekat mak abah, air mata mencurah-curah ke ladang gandum. Oh aku masuk asrama!. Minggu orientasi, kenal kawan. Kenal cikgu. Kenal warden. Daripada tak terror jawab soalan matematik, cikgu ajar sampai terror. Daripada tak pandai tulis karangan apatah lagi penanda wacana dan unsur kematangan, cikgu ajar sampai pandai. Bukan setakat pandai tulis karangan, sastera hikayat malim deman pun dah jadi hafalan. Eheh.. Dari tak reti langsung-langsung speaking mat saleh orang putih, cikgu ajar sampai kenal 1 Husband 5 Wife. Daripada tak tahu macam mana pokok hasilkan oksigen, cikgu tunjuk ajar macam mana proses fotosintesis berlaku. Celik mata, celik minda. Oh... berudu yang aku main-main dulu tu anak katak rupanya. Ingatkan spesis ikan yang boleh dimakan. Patutlah emak marah-marah bila nak bela berudu dulu.!

Kalau 8 tahun yang lalu, rasa kekok je nak belajar fizik, kimia, biologi, matematik tambahan. Dalam hati, apakah banyak sangat subjek? sains juga kan? Tapi, cikgu tak jemu tunjuk demo dalam lab walaupun hakikatnya pakat dok "SMS" atas meja makmal. Cikgu tak jemu cari dan himpunkan kertas soalan dari seluruh negara hanya sebab nak bagi murid-muridnya extra kerja. Cikgu tak jemu-jemu fikir design button comel-comel hanya sebab nak hargai kecemerlangan murid-muridnya. Cikgu tak pernah kisah masa dan wang untuk iring murid-muridnya pergi ke sana-ke sini. Dan cikgu tak pernah lokek memberi senyuman dan semangat saat hati merasa ke bawah(down). Hasilnya, murid-murid yang tuai. cikgu senyum selalu.

Kalau 6 tahun yang lalu, baju putih kain khaki tidak lagi termasuk dalam senarai beli belah barang sekolah. Tiada lagi buku sekolah yang nak dibeli. Habis sudah zaman sekolah. Tapi pembelajaran belum terhenti. Berjumpa lagi cikgu matrik. Cabaran cikgu saya sahut. Hasilnya, saya gembira cikgu ikut tersenyum. 

Saya melangkah pula ke universiti. Gembira. Tapi saya tahu cikgu-cikgu saya yang sebelum ini lebih gembira. Anak didik mereka melangkah ke menara gading. Pensyarah pun cikgu juga. Daripada terkebil-kebil melihat litar yang macam tak pernah jumpa tu, sampailah mampu mengenal transistor, resistor dan kapasitor. Hasil tunjuk ajar pensyarah. Daripada tak tahu pun apa itu kerjaya, pensyarah membuka ruang dan peluang. Belajar tanpa kenal erti jemu..

Dan sekarang, di sini saya. Siapa saya hari ini, merekalah yang banyak membantu mencorakkannya. Tanpa tunjuk ajar dan ilmu yang mereka berikan, siapalah saya tika ini. Mungkin saya tidak di sini. Mereka insan yang sentiasa ingin mencurahkan ilmu buat kita. Terima kasih cikgu! Terima kasih atas ilmu, didikan, dorongan dan kasih sayang yang engkau berikan selama kami bergelar pelajar.

Buat cikgu-cikgu seluruh Malaysia, terutamanya cikgu-cikgu yang pernah mendidik dan mengajar saya, Selamat Hari Guru saya ucapkan.(Special thanks to Cikgu-cikgu MRSM PDRM : Cikgu Roslaini, Cikgu Anuar, Cikgu Fauziah, Cikgu Wan, Cikgu Chempaka, Cikgu Azizan, Cikgu SHafiza, cikgu Suriani, Teacher Mardziah, Cikgu, cikgu, cikgu dan semua cikgu-cikgu yang tak tersebut namanya).Terima kasih cikgu!. Selamat hari guru juga buat pensyarah-pensyarah seluruh IPTA/IPTS terutamanya pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia. Anda juga seorang cikgu. Dan Selamat Hari Guru buat kawan-kawan yang sudah pun bergelar guru atau yang bakal bergelar guru. Teruslah menabur bakti, mencurah ilmu dalam membentuk generasi yang akan datang.

Terima Kasih Cikgu!




2 comments:

nur anis said...

terima kasih cikgu...:)

maszull said...

assalamualaikum Sara...selamat hari guru buat guru2 semua...:)