Buku “Keabadian Masa dan Hakikat Takdir” ditutup rapat. Buku yang berasaskan fakta yang dibaca semula dua hari yang lalu akhirnya sampai jua ke muka surat terakhir. Kebenaran yang dirungkai membuatkan aku terfikir berulang kali. Andai benar apa yang dihujahkan lewat terbitan buku setebal 138 muka surat ini, sememangnya aku antara manusia yang berada dalam kerugian.
“Demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugian..”
Kenapa aku katakan aku antara manusia yang rugi? Kerana aku antara manusia yang sering mengejar keduniaan. Manusia yang tahu bersyukur tetapi sukar untuk sujud kepada DIA yang satu. Penulisan Harun Yahya yang telah dialih bahasa ini sedikit sebanyak membuka ruang mindaku. Membuka mataku yang selama ini sering ditutupi kebendaan. Aku inginkan kemewahan yang pada hematku akan menjamin kehidupanku pada masa hadapan.
Aku sering idamkan banglo yang besar untuk keselesaan seisi keluargaku. Tetapi aku sering lupa untuk mencari sebanyak mungkin bekalan untuk kehidupan hakikiku di dunia yang sebenarnya. Kehidupan di dunia realiti ini hanyalah sebuah pengembaraan dalam mengumpul bekalan untuk kehidupan yang lebih kekal. Tapi, aku sebagai manusia biasa sering terlupa tentang fakta yang satu ini.
KEABADIAN MASA DAN HAKIKAT TAKDIR
Membaca tajuk, pada mulanya aku tidak menangkap apakah yang cuba disampaikan oleh penulis. Tapi itu tidak mematahkan semangat aku untuk membaca setiap rangkaian huruf yang membentuk ayat itu. Pada peringkat awal aku membaca, bagaikan sesak pemikiranku dengan 1001 fakta yang dihidangkan. Seakan tidak mampu dicernakan oleh kotak mindaku. Hasilnya, buku ini ku letak ketepi. Seakan tidak mampu untuk menghabiskan keseluruhan isinya. Dan hari ini, setelah empat hari berehat di rumah, aku manfaatkan masa-masa lapangku untuk menghabiskannya.
“Kepercayaan kepada satu dunia luaran yang terbentuk di dalam otak kita hanyalah satu tindak balas yang terbentuk di dalam otak kita oleh isyarat elektrik”
Inilah titik permulaan atau asas utama kepada kefahaman teks yang seterusnya. Sukar untuk memahami kalau kita cuba untuk mengekang kotak fikiran dari menerima sesuatu yang lebih meluas. Malah, dalam buku ini turut memuatkan petikan kata-kata dari saintis-saintis dan ahli falsafah berkenaan fakta yang dihujahkan. Penemuan sains membuktikan apa yang diceritakan di dalam kalam Allah itu. Penemuan yang kukuh untuk menyangkal falsafah ahli materialism bahawa kehidupan manusia adalah berasaskan kebendaan.
“Kita mempercayai kewujudan benda-benda hanya kerana kita melihat dan menyentuhnya, dan ia digambarkan kepada kita melalui persepsi atau tanggapan kita.”
Sebuah persepsi? Dalam erti kata lain, ia hanyalah imej yang terbentuk semata-mata mengikut prospek pemikiran kita. Andai objek, binatang, manusia yang terbentang di balik retina kita hanyalah sebuah persepsi semata-mata, apa pula yang akan menjelaskan kebenaran kepada lima deria milik kita? Sememangnya buku tulisan Harun Yahya ini mengupas isu ini dengan lengkapnya. Apa yang kita lihat umpama sebuah mimpi. Dalam maksud yang mudah, kehidupan kita di dunia luaran ini sebenar-benarnya adalah sebuah mimpi. Bila kita akan dibangkitkan dalam kehidupan yang abadi, hanya DIA yang mengetahui. Untuk lebih memahami isi yang hendak disampaikan ini, aku cuba memahami konsep mimpi saat kita lena.
Bila tiba waktu untuk beristirehat, pastinya tilam dan bantal menjadi sasaran. Mengharapkan mimpi indah menemani malam hari. Adakalanya, apa yang dimimpikan sangat indah. Sehingga tidak terasa untuk bangun dan keluar dari keindahan mimpi. Namun ada kalanya, mimpi yang dialami amat mengerikan. Seakan tidak mahu lena. Mengharapkan siang masih panjang.
Begitulah kehidupan yang sedang kita alami sekarang. Sangatlah rugi kalau masa yang ada tidak digunakan sebaiknya untuk mengumpul bekalan bagi kehidupan yang abadi. Bagi yang ingin memahami lebih mendalam, rajin-rajinkanlah diri anda untuk membaca buku ini. Sebuah buku hasil penulisan Harun Yahya. Andai saya tidak tersilap, buku Harun Yahya banyak yang diolah ke bentuk e-book.
Begitulah kehidupan yang sedang kita alami sekarang. Sangatlah rugi kalau masa yang ada tidak digunakan sebaiknya untuk mengumpul bekalan bagi kehidupan yang abadi. Bagi yang ingin memahami lebih mendalam, rajin-rajinkanlah diri anda untuk membaca buku ini. Sebuah buku hasil penulisan Harun Yahya. Andai saya tidak tersilap, buku Harun Yahya banyak yang diolah ke bentuk e-book.
Marilah membaca…Membaca amalan yang mulia…
1 comments:
memang betul demi masa manusia dalam kerugian.. so gunakan masa dengan sebaik yang mungkin
Post a Comment