Bedah Buku : Lembutkanlah Hatimu

Saturday, January 22, 2011


Pengarang : Amaluddin Mohd Napiah
Terbitan : Galeri Ilmu Sdn Bhd

“Hati diibaratkan sebagai enjin yang ada di dalam sesebuah kenderaan. Enjin ialah komponen terpenting bagi sesebuah kenderaan itu. Andainya enjin kereta itu berada dalam keadaan baik, maka kondisi kereta itu dikira amat baik. Sebaliknya, jika enjin bermasalah dan asyik semput, maka besarlah masalah kereta itu dan akan membabitkan tuan punya kereta sekali.

Enjin kereta akan bermasalah dan mengalami kerosakan jika tuannya bersikap “bermalas-malas” untuk menjaga dan melakukan “servis” ke atas keretanya. Panduan atau “manual” yang diberikan tidak diendahkan. Jadual penukaran minyak hitam tidak diambil pusing. Kebocoran minyak hitam tidak dipedulikan. Air tidak diisi secukupnya. Kita semua tentu dapat meneka dan mengagakkan apakah risiko yang bakal berlaku akibat kecuaian dan pengabaian itu.

Demikianlah juga halnya hati yang menjadi “enjin” atau lantera kehidupan manusia di dunia ini.”

Itulah sebahagian daripada intipadi penulisan Ustaz Amal di dalam buku setebal  216 muka surat itu. Penulisannya lebih ringan dan mudah difahami. Ustaz Amal turut menggunakan situasi semasa sebagai bahan bual bicaranya. Membaca ruangan mukaddimah sahaja sudah cukup menarik. Membuatkan kita terasa hendak meneruskan lagi pembacaan. Hati dan akal adalah dua komponen yang berbeza. Walaupun terdapat perbezaan mendapat dalam menyatakan fungsi hati, namun seperkara yang pasti adalah HATI adalah sumber asal kehidupan seluruh anggota termasuklah otak. Malah ada hadis Nabi S.A.W yang menyatakan bahawa kesejahteraan jasad lahiriah dan fikiran di hubungkaitkan dengan hati.

Selain itu, buku ini turut mengupas tentang kepentingan Azan dan iqamat yang dialunkan di telinga si anak saat dilahirkan di bumi yang fana ini. Apa yang terjadi bilamana Azan itu diswastakan? Apa yang dikatakan sebagai Penswastaan Azan? Bilamana azan yang dialunkan bukan datang dari suara si ayah sebaliknya dengan bantuan pelbagai teknologi masa kini. Alangkah sedihnya si anak yang baru lahir itu saat mendengarkan azan yang diswastakan itu.

Sedekah. Satu amalan yang mulia tetapi ramai yang tidak memahami erti sedekah. Sedekah yang diiktiraf islam ialah mempelajari sesuatu ilmu yang bermanfaat, kemudiannya mengajarkannya pula kepada mana-mana saudara seagamanya dengan syarat ilmu itu bermanfaat untuk kehidupan duniawi mahupun ukhrawi dan diredhai oleh Allah S.W.T. Jangan hanya melihat sedekah itu dalam bentuk kewangan mahupun keselesaan materialistik tetapi perkongsian ilmu itu juga satu sedekah. Ini sesuai dengan sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :

“Sedekah yang paling utama ialah seorang Islam yang mempelajari ilmu kemudian ia mengajarkannya pula kepada saudaranya (yang muslim).” (Riwayat Ibnu Majah)

Ilmu yang dikongsikan tidak akan berkurangan sebaliknya akan terus bertambah. Bukankah itu suatu pelaburan jangka panjang yang menguntungkan? Medan untuk kita bersedekah terbuka luas.

Untuk pengupasan yang lebih menarik, saya anjurkan kalian semua untuk membaca naskah ini. Sejujurnya, ia sebuah naskhah yang menarik, mudah difahami, seiring dengan situasi semasa dan bersifat lebih santai. Selamat membaca..

Doa ini dipetik dari keseluruhan buku ini.

“ Ya Allah ya Tuhanku, mana-mana hamba-Mu, baik lelaki mahupun wanita yang menyayangi diriku dan berdoakan untuk keselamatanku, maka bimbing dan pimpinlah ia ke Jannatul Firdaus-Mu yang tinggi dan mana-mana hamba-Mu, baik lelaki mahupun wanita yang pernah menzalimi, mengumpat atau menfitnah diriku atau mengatakan sesuatu perkara yang tidak ada pada diriku, maka dengan lapang dada sepenuh redha memberikan kemaafan ke atas mereka setulusnya dan kuserahkan segalanya pada-Mu ya Allah.

Ya Allah! Perjalankan daku dalam kelompok hamba-Mu yang Mukminin dan Muttaqin.”

0 comments: