Ohayou!!
Tergerak rasa nak menulis entrie ni bila terbaca akhbar Utusan Malaysia yang dibeli abah. Tajuk akhbar itu adalah
“Kes cerai Anne Ngasri”. Ini bukanlah pertama kali kisah artis bercerai dipaparkan di dada-dada akhbar. Tetapi, kisah penceraian Anne Ngasri amat bersesuaian dengan entrie saya kali ini.
Gambar diambil dari carian google
Cerita yang dipetik dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20hb Mei ini berkisahkan :
“Menurut peguam syarie itu, Anne dalam affidavit bagi menyokong permohonan tersebut mendakwa suaminya ada melafazkan ,”Aku ceraikan kau Anne” di kediaman mereka di Shah Alam pada pukul 11.20pagi, 25Mac lalu.
Bagaimanapun, anak guam saya ada memaklumkan bahawa sebelum tarikh tersebut, dia pernah dua kali melafazkan cerai terhadap plaintif, tetapi tiada sebarang permohonan dilakukan.”
Apa yang ingin saya perkatakan ini, jika benar apa yang didakwa Anne, ini bermakna telah jatuh talak tiga ke atas dirinya. Talak yang dilafazkan sendiri oleh si suami yang suatu ketika dulu pernah melafaz akad “Aku terima nikahnya…”
Begitu sekalikah mudahnya melafazkan ungkapan cerai? Sungguh tidak dapat saya mengerti. Kalau dilihat kembali, hanya dengan sekali lafaz sahaja talak boleh dijatuhkan. Tetapi, saat ungkapan akad dilafazkan ada yang tergagap-gagap. Sekali tak lepas, masih diberikan peluang untuk bertenang dan mengucapkan akad untuk kesekian kalinya. Namun, mengapa bila lafaz cerai yang datang, dengan begitu mudah dan lancarnya terucap di bibir seorang lelaki?
Bukankah seorang lelaki memiliki 9 akal dan 1 nafsu berbanding wanita yang memiliki 9 nafsu dan 1 akal? Jadi kenapa tidak digunakan 9 akal yang dianugerahkan Allah itu secara rasional sebelum talak dijatuhkan? Kenapa hak untuk melafazkan “akad” dan “cerai” diberikan kepada lelaki dan bukan kepada wanita?
Pernahkah kita mendengar kisah seorang wanita melafaz akad “
aku terima nikahnya si polan bin si polan…” atau lafaz “
Aku ceraikan kau si polan..”? Pastinya tidak pernah bukan? Kerana dalam Islam sendiri, bukan itu yang diajarkan oleh agama kita.
Saya petik ini dari sebuah novel yang saya baca. Walaupun hanya sebuah novel, ada sesuatu yang ingin disampaikan penulisnya.:
“…Keputusan XXX menceraikan YYY adalah satu keputusan yang terburu-buru. Marah, geram, memanglah bila kita tengok isteri kita macam tu? Tapi di situlah kesabaran kita yang paling penting sebagai seorang suami. Kerana itu, talak hanya diberi pada seorang lelaki tidak pada wanita. Sebab lelaki mempunyai sifat sabar yang lebih tinggi, sepatutnyalah.
Kerana itu, Allah meletakkan gelaran suami itu di tempat yang cukup terhormat untuk menjadi ketua dalam rumah tangga. Bila isteri tersasar jalan, suamilah yang membimbingnya. Bukan melenting! Bukan mengamuk! Dan bukan juga terus membuang isteri dalam hidupnya.
Perbuatan itu jelas menunjukkan sifat kita yang singkat akal. Sebab kalaulah betul isteri kita telah tersasar jalan, kita kena Tanya diri kita, mungkin penyebabnya kita? Kenapa bila suami kahwin lain, mudah aje dijawab isteri tak pandai layan suami sebab itu aku kahwin lagi tapi kalau isteri ada orang lain contohnya, kenapa kita tak Tanya jugak pada diri kita mungkin aku tak pandai layan isteri?”
***ini adalah nasihat dari seorang ayah kepada anak lelakinya yang terlalu terburu-buru dalam menjatuhkan talak. Credit bagi penulis Siti Rosmizah di dalam karyanya yang bertajuk “Cinta Kau dan Aku”.
Inilah novelnya. nak baca, g cari kat kedai buku ye!
Walaupun ini hanyalah petikan dari sebuah novel, namun tak semua novel yang ditulis hanyalah membawa kisah fantasi semata-mata. Ada tikanya, kisah-kisah yang ditulis berkisarkan fenomena semasa yang berlaku di sekeliling kita. Ada nasihat yang ingin disampaikan. Ada teladan dan pengajaran yang boleh diambil.
Untuk lebih mengembangkan lagi topik ini, saya bertanyakan beberapa soalan kepada sahabat-sahabat saya. Dari 7 teman yang saya Tanya, saya memperoleh 5 responden.
1. Apakah nilai sesebuah ikatan perkahwinan itu kalau pengakhirannya adalah sebuah penceraian?
Siti : Mestilah tak baik. Macam apa yang dibina selama ini sia-sia je. Klu ada masalah, selesai dengan baik. Cerai bukan jalan terakhir.
Ana : Berbalik kepada niat awal struktur pembinaan masjid. Pendapat peribadi, nilainya terletak pada niat. Sama ada pembinaan masjid ini menghala pada islam, syurga dan redha Allah atau sekadar untuk melayari kehidupan di dunia semata-mata. Tu sebab pembinaan itu, harus dibaja mulai dari sekarang. Andai baik bajanya, baiklah hasil tuaianya. Walaubagaimanapun, segala itu ketentuan Allah. Moga Allah member kesudahan yang baik bagi orang-orang yang sentiasa memohon redha-NYA.
Naz : Perkahwinan itu adalah ikatan suci. Dalam melayari bahtera perkahwinan ada pasang surutnya. Pasti ada cubaan dan dugaan. Walaupun dipenghujungnya adalah penceraian, ada hikmahnya. Contohnya perkahwinan kali pertama berakhir dengan penceraian mungkin perkahwinan kedua adalah terbaik. Jika mahu berkekalan dalam rumah tangga semestinya perlu ada kesabaran dan tolak ansur. Mungkin mudah untuk diucap tapi semuanya di tangan kita. Sentiasa jadikan rumah tangga kita sebagai keluarga muslimin yang mukmin bukan sekadar islam atas namanya tapi diterapkan dalam setiap ahli keluarga bagaimana menjadi mukmin.
Aizat : Nilai perkahwinan jika akhirnya penceraian? Aku no komen sangat.. Tapi mende tuh dah jadi sangat common sampaikan takde rasa tanggungjawab langsung. Mungkin ada yang Nampak perkahwinan lebih pada percintaan bukan pada tanggungjawab.. Tuh yang meletakkan nilai perkahwinan umpama kereta yang baru dibeli.. dah puas guna, leh jual kat kereta terpakai.. Aku pun tak sure menjawab ke tak soalan.. tapi, nil ah yang aku leh pk kan..
2. Mengapakah kuasa menjatuhkan talak diletakkan pada seorang lelaki dan bukannya wanita?
Rusydi : Lelaki dikurniakan Allah 9 bahagian akal dan 1 bahagian nafsu. Mereka lebih cenderung untuk berfikir sebelum bertindak. Ini lumrah dan fitrah berbanding wanita, 9 bahagian nafsu dan 1 bahagian akal. Mereka cenderung untuk mengikut hawa nafsu berbanding berfikir.
Akan tetapi, perlu diingat walaupun lelaki cenderung untuk berfikir, tapi bilamana akalnya tiada input-input untuk di”digest” (dihadam), maka apa yang tinggal adalah kecenderungan itu beralih daripada akal kepada nafsu. Maksud disini, ilmu tentang rumah tangga yang mencukupi, persediaan jangka masa panjang yang tak dirancang, maka apa yang terjadi adalah tatkala berlaku kecelaruan atau gangguan dalam rumah tangga, asas-asas kefahaman yang tak solid tentang talak dan ilmu rumah tangga itu akan mudahlah mereka dihasut untuk melafazkan talak.
Ana :
Hmm.. pernah terbaca sebab wanita ni mudah dikuasai oleh nafsu. Al-maklumlah 9 nafsu 1 akal. Jadi mudah marah, sedih dan macam-macamlah. Bila dalam keadaan dikuasai emosi, sukar untuk wanita bertindak matang. Tu sebab ALLAH memberikan kuasa talak pada lelaki yang mempunyai 9 akal agar lebih matang dan waras mengambil dan mengawal nafsu si isteri. (‘o,’)
Naz : Sebab lelaki merupakan ketua keluarga dan sifatnya tidak seperti seorang wanita yang sentiasa beremosi. Bayangkan jika wanita yang diberi kuasa talak, rasanya akan bertambah lagi kadar penceraian. Wallahu..
Aizat : Aku dengar orang kate..and aku tak cakap smeh laki eyh.. laki lebey berpandangan jauh and tak bertindak melulu.. kalau kuasa talak pada perempuan, lagi ramailah yang akan bercerai..emosi perempuan lebih cepat bertindak berbanding lelaki..
Begitulah pendapat teman-teman sekuliah saya. Inilah juga suara mahasiswa berkaitan isu yang saya bawakan. Dari respon yang saya perolehi dari mereka, boleh saya simpulkan bahawa titik tolak sesebuah masjid itu didirikan perlulah berbekalkan ilmu yang cukup. Bukan ilmu duniawi semata-mata tapi juga ilmu akhirat. Apalah ertinya sebuah rumah tangga itu jika pembinaannya jauh dari redha ALLAH.
Mungkin ada benarnya, kegagalan dari perkahwinan yang pertama ada hikmahnya dengan kejayaan perkahwinan kedua seperti yang ditunjukkan oleh Erra Fazira dan beberapa orang selebriti tanah air yang lain yang dipaparkan di majalah dan akhbar.
Namun, pada pandangan saya, tidak perlu adanya perkahwinan yang seterusnya sekiranya pasangan suami isteri mampu bertolak ansur dan bekerjasama dalam mengemudikan bahtera yang mereka bina. Dan kebiasaanya, perkahwinan pertama terjalin kerana cinta yang telah tersemai sekian lama. Jadi, kalau tempoh bercinta boleh berlangsung untuk jangka waktu yang lama, mengapakan ikatan perkahwinan itu tidak mampu dipertahankan?
Keluarga bahagia
Ini hanyalah pendapat saya sebagai seorang mahasiswa. Bukan berniat untuk memberi kaunseling rumah tangga sementelah saya sendiri belum ke arah itu. Sekadar sebuah penulisan buat renungan kita bersama.
Buat teman-teman yang memilih untuk mendirikan rumah tangga di awal usia 20-an, tahniah saya ucapkan kerana itulah yang terbaik. Mencari keredhaan Allah dalam menjalin cinta insani. Namun, perlulah diingat. Dalam usia yang sangat muda ini, kita akan mudah terpengaruh dengan godaan dunia. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri.
Jangan jadikan talak sebagai penyelesaian yang mudah bagi permasalahan yang dihadapi. Sebaliknya, berusahalah untuk mempertahankan ikatan suci yang telah terbina. Isteri bukanlah boneka yang didekati bila diingini dan dibuang ketepi saat diri terasa jemu. (‘o,’)..
Renung-renungkan dan selamat beramal.. ngee..